Home » Fikrah » Kepentingan dialog antara peradaban (Bhg. 1)

Kepentingan dialog antara peradaban (Bhg. 1)

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

 

KEWUJUDAN masyarakat majmuk adalah suatu sunnah llahiah yang merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama, diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat seperti Islam dan Kristian yang berbeza itu untuk saling kenal mengenal sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.

 

Perkataan dialog ialah istilah bahasa Inggeris, dialogue. Maksud perkataan tersebut ialah: (1) perbicaraan , perbualan, percakapan (2) pertukaran pendapat, dan (3) tanya jawab. Berasaskan maksud tersebut, dialog boleh diertikan sebagai “suatu percubaan antara dua belah pihak yang berlainan pendapat, kepercayaan atau pandangan untuk melakukan satu aktiviti pertukaran pendapat, dengan tujuan menambahkan pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan seterusnya membolehkan wujudnya sikap saling memahami antara kedua-dua belah pihak”.

 

Dialog sering juga disebut dengan perkataan mujadalah, muzakarah, bertukar fikiran dan lain-lain. Melalui dialog mereka juga mungkin dapat mempelajari sesuatu kebaikan yang terdapat antara kedua-dua belah pehak serta melenyapkan sebanyak mungkin keraguan yang timbul sebelumnya.

 

Percubaan untuk memahami hubungan antara agama bukanlah merupakan sesuatu yang baru dalam sejarah peradaban dunia. Sejarah Islam itu sendiri memberi satu bentuk hubungan yang akrab antara penganut bukan Islam dan ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah.

 

Malah Islam tetap menganggap bahawa setiap manusia berhak memilih jalan hidup dan kepercayaan masing-masing sebagaimana resam manusia itu sendiri yang diciptakan secara berpuak-puak. Tujuannya ialah untuk saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan baik bukannya serang menyerang atau fitnah.

 

Dialog tersebut bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada kedua-dua agama kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pihak menjadi lebih akrab.

 

Dialog peradaban adalah suatu perbincangan yang dilakukan oleh dua pihak atau lebih, yang mempunyai pandangan yang berbeza. Tujuan utamanya adalah untuk saling belajar antara satu sama lain sehingga pihak masing-masing dapat mengubah pandangannya dan meningkatkan kefahaman agamanya. Dialog bukanlah satu pendebatan.

 

Dalam dialog ini kejujuran amat penting dalam menghadapi perbezaan-perbezaan asas dan bersama-sama mencari suatu kebenaran yang tidak sepenuhnya dimiliki oleh mana-mana kelompok, kerana kebenaran yang hakiki itu hanya ada di sisi Allah s.w.t.

 

TEORI HUNTINGTON

 

Dalam The Clash Of Civilization, Huntington menyatakan konflik antara Islam dan Barat semakin meningkat disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, pertumbuhan penduduk Muslim yang cepat telah meningkatkan jumlah pengangguran sehingga menimbulkan ketidakpuasan di kalangan kaum muda Muslim.

 

Kedua, kebangkitan Islam telah memberikan keyakinan baru kepada kaum Muslim akan keistimewaan dan ketinggian nilai dan peradaban Islam, berbanding nilai dan peradaban barat.

 

Ketiga, secara bersamaan, Barat berusaha meletakkan nilai dan institusinya sebagai nilai dan institusi sejagat untuk menjaga kepentingan ketenteraan dan ekonominya, dan turut campur dalam konflik di dunia Muslim. Hal ini telah menimbulkan kemarahan kepada kaum Muslim.

 

Keempat, dengan runtuhnya Komunisme, Islam dan Barat merasakan mereka akan mengancam kedudukan antara satu sama lain.

 

Kelima, meningkatkan interaksi antara Muslim dan Barat telah mendorong perasaan baru pada pihak masing-masing akan identiti mereka sendiri, dan bahawa mereka berbeza dengan yang lain. Bahkan, menurut Huntington, dalam kedua-dua masyarakat – Islam dan Barat -  sikap toleran terhadap satu sama lain telah merosot pada dekad 1980-an dan 1990-an.

 

Konflik antara Islam dan Barat, menurut Huntington, berlaku disebabkan adanya perbezaan hakikat dan peradaban yang dibangunkan oleh Islam dan Barat. Pada satu sudut yang lain, konflik antara Islam dan Barat lahir daripada perbezaan, terutama konsep Muslim yang memandang Islam sebagai way of life yang menyatukan agama dan politik. Konsep ini bertentangan dengan konsep Kristian yang memisahkan kekuasaan tuhan dan kekuasaan Raja (sekularisme).

 

Walau bagaimanapun, jika dilihat dari sudut yang lain pula konflik itu tercetus daripada persamaan. Kedua-duanya merasakan sebagai agama yang benar kedua-duanya sama-sama agama misionaris yang mewajibkan pengikutnya mengajak “orang kafir” agar mengikuti ajaran yang dianutinya; Islam dan Kristian disebarkan melalui penaklukan wilayah kedua-duanya juga mempunyai konsep jihad dan crusade sebagai perang suci.

 

PUNCA KONFLIK

 

Disebabkan perbezaan intelektual dan keagamaan, tradisi intelektual manusia turut berbeza. Proses pemahaman agama juga kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih berpihak kepada masalah teologi yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primodial.

 

Sungguhpun begitu, titik temu antara agama boleh dilakukan bagi membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan.

 

Timbulnya konflik peradaban pada abad ini disebabkan oleh kejahilan yang disertai dengan rasa kesangsian dan permusuhan terhadap satu sama lain yang telah menghalang mereka daripada menjalinkan hubungan yang berkekalan dan berkembang maju.

 

Memandangkan keganasan kaum semakin memuncak dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum dan di merata-rata tempat, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, antara budaya atau peradaban diadakan pada masa ini.

 

Contohnya ketegangan antara Islam-Kristian berakar umbi daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan menyukarkan kewujudan situasi yang saling memahami dan menghormati antara  Islam dan Kristian. Kadang-kadang kesukaran semakin bertambah kerana didorong oleh kepentingan politik mahupun teologi.

 

Oleh itu, dialog harus difokuskan kepada titik-titik persamaan antara kedua-dua agama. Perbezaan yang boleh menimbulkan perselisihan harus dihindari. Antara titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah penciptaan suatu kehidupan bermoral yang mengunjung tinggi nilai-nilai keagamaan dalam segala aspek kehidupan dan peradaban manusia.

 

Setiap pemeluk agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai oleh ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberikannya hak untuk hidup berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.

 

KEPENTINGAN DIALOG

 

Seperti kata Alwi Shihab dalam bukunya Islam Inklusif, soal mana yang paling benar atau salah bukan tujuan dialog. Semua itu urusan Allah. Yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog antara agama ialah mencari titik temu.

 

Namun fenomena untuk mencari titik temu demi keamanan sejagat agak sukar kerana dihalangi oleh sikap  fanatik sesetengah penganut agama masing-masing.

 

Di Ireland Utara, penganut Katholik dan Proteston saling bermusuhan. Di Timur Tengah, ketiga-tiga cucu Nabi Ibrahim umat Yahudi, Kristian, dan Islam saling menggunakan bahasa kekerasan. Di Sri Lanka, kaum Buddha dan kelompok Hindu bercakaran. Yang paling menyayatkan hati, agama dijadikan elemen utama dalam mesin penghancuran manusia suatu kenyataan yang sangat bertentangan dengan ajaran semua agama di atas permukaan bumi ini.

 

Sudah tiba masanya umat beragama meninggalkan era menolog untuk beranjak kepada era dialog-meminjam istilah Leornard Swidler, penerbit Journal Ecumenical Studies, dan Profesor Pemikiran Katholik di Universiti Temple. Dialog yang dimaksudkan adalah untuk saling mengenali dan saling menimba pengetahuan baru tentang agama mitra dialog. Dialog tersebut dengan sendirinya akan memperkayakan wawasan kedua-dua belah pihak dalam rangka mencari persamaan-persamaan yang dapat dijadikan landasan hidup rukun dalam suatu masyarakat.

 

Selanjutnya, ada dua komitmen penting yang harus dipegang oleh pelaku dialog  yang digariskan oleh para ahlinya iaitu toleransi dan pluralisme. Toleransi pada dasarnya merupakan cara untuk menahan diri daripada mencetuskan konflik.

 

Namun dialog yang disusuli oleh toleransi tanpa sikap pluralistic tidak akan menjamin tercapainya kerukunan antara umat beragama yang diharapkan.

 

Pentingnya dialog antara Islam dan Kristian, adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban yang menjadi akar masalah daripada kedua-dua agama tersebut.

 

Di samping untuk mengetahui sejauhmanakah perlunya sikap keterbukaan bagi memenuhi tuntutan kemasyarakatan antara penganut agama, terutamanya Islam dan Kristian di Malaysia. Pola pemikiran tersebut menjadi sangat penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap penganut Islam terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah dijangka dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.

 

Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lain-lain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat menbantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negative dapat diperbetulkan.

 

Perbuatan negatif bukanlah hak eksklusif sebuah masyarakat atau hak orang Islam. Perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampau sempadan dan pegangan agama. Perbuatan negatif ini berlaku di mana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama, secara lebih praktikal dan mendalam.

 

Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar.  Kalau kata “agama” difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.

 

TUJUAN DAN BENTUK DIALOG

 

Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi.

 

Bentuk dialog berdasarkan pengalaman keagamaan yang meletakkan peranan agama dalam setiap konteks persoalan global seperti alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi oleh bangsa manusia pada abad ke-21.

 

Manakala perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain secara mendalam.

 

Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, iaitu kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.

 

Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.

 

Tegasnya, dialog menuntut kedua-dua belah pihak memilih untuk bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.

 

Wifred Cartwell Smith seorang pemikir terkemuka yang juga merangkap Ketua Pengarah Centre for the Study of World Religion di Harvard mengatakan bahawa, “misi dan dialog itu akan saling bertemu dan ini merupakan tugas dan kepentingan kita untuk mengakuinya. Masanya telah tiba untuk kita saling memahami, menghormati dan membantu antara satu sama lain bagi mencipta dunia yang dapat diterima. Dengan demikian misi kita saat ini adalah untuk bekerjasama dengan seluruh umat manusia”.

 

PANDANGAN ISLAM TENTANG DIALOG

 

Sebenarnya al-Quran tidak pernah mengutuk agama Kristian melainkan berusaha untuk membetulkan semula kesalahfahaman mereka mengenai sifat Tuhan yang mereka dakwa ada tiga iaitu Tuhan yang berdiri sendiri (triteis).

 

Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing pihak berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri. Mereka harus saling menerima dam menghargai, tidak hanya terbatas pada interaksi sosial melainkan juga perdebatan intelektual dan teologi.

 

Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri diantara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukan sikap persahabatan yang tulus.

 

Sejarah mencatat bahawa  Nabi s.a.w dan para Khalifah al-Rasyidin tidak pernah memaksa golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) untuk meninggalkan agama mereka sebagai syarat untuk hidup bersama dengan kaum Muslim.

 

Salah satu peristiwa lain yang sangat penting untuk kita semak ialah penerimaan Nabi Muhammad s.a.w terhadap rombongan Kristian dari Najran. Nabi s.a.w menyambut baik rombongan seramai 60 orang daripada penganut agama Katholik yang dipimpin oleh Abdu l-Masih al-Ayham dan Abu Haritsa bin Al-Gama. Mereka dikatakan tinggal beberapa hari di Madinah. Suatu ketika mereka meminta izin daripada Rasulullah s.a.w untuk keluar melakukan upacara ibadat mereka, namun ditegah oleh Nabi dan mereka dipersilakan untuk melakukan ibadat mereka di Masjid Nabawi. Peristiwa ini diceritakan oleh sejarahwan Islam dalam buku Sirah Ibn Ishaq (85-151H).

 

Dalam hubungan ini juga Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Barang siapa mengganggu kaum ‘dzimmi’, maka ia telah menganggu aku.”

 

Ucapan tersebut menperlihatkan betapa besar rasa tanggunjawab Nabi s.a.w terhadap keamanan dan keselamatan mereka yang bukan Muslim yang hidup di bawah kekuasaan kaum Muslimin. Hal ini dapat dilihat semenjak Nabi s.a.w mulai membangun masyarakat Madinah setelah hijrah.

 

Pada hakikatnya dari awal lagi kelihatan sekali bahawa Nabi s.a.w tidak bermaksud untuk menbangun sebuah masyarakat Muslim yang eksklusif. Piagam Madinah yang yang menjadi landasan pembangunan masyarakat baru madinah menbuktikan bahawa Nabi s.a.w tidak ingin menyingkirkan umat-umat lain.

 

Piagam Madinah menggambarkan semangat hidup berdampingan secara rukun yang diikat oleh kesediaan untuk berkerjasama dan saling menbela. Dalam hal ini perlu dicatat bahawa tersingkirnya orang-orang Yahudi dari Madinah kerana pengkhianatan mereka sendiri terhadap piagam tersebut.      

 

Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan supaya berlaku adil dalam perdebatan.

 

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): ‘Kami beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu ialah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri.”  (Surah Al-Ankaabut: 46)

 

Prinsip-prinsip toleransi daripada ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka dalam menghadap pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.      

 

Walau bagaimanapun, permasalahan ini terletak kepada penafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub di dalam al-Quran?

 

I as a Christian need you as Muslim, and yau as Muslim need me as a Christian.” (Terjemahannya: Saya selaku orang Kristian memerlukan anda seorang Muslim, demikian pula anda Muslim memerlukan saya seorang Kristian).

 

ISLAM DAN KEMAJMUKAN

 

Peranan Islam sebagai agama seiring dengan peranan Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang diutus oleh Allah kepada segenap manusia, tanpa sempadan kebangsaan, geografi dan batas-batas waktu. Bahkan Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dikurniakan oleh Allah Taala kepada segenap alam dan manusia, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

 

“Dan tiadalah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam?”

 

Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia kerana semuanya ialah hamba Allah, bahkan perbezaan bangsa dan warna kulit itu juga merupakan suatu rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling kenal mengenal san bantu-membantu dalam menempuh kehidupan.

 

Selain menghormati manusia lain dari segi keturunan, bangsa dan budayanya, Islam juga menganjurkan agar umatnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya, menerusi surah Muntahanah, ayat 8, yang bermaksud:

 

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” 
 

Firman Allah ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam dikehendaki berlaku baik dan bersikap adil kepada penganut agama lain. Ayat ini juga tidak melarang umat Islam untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama samawi (Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil manusia, selama mereka tidak memerangi Islam dan tidak mengusir umat Islam dari kampung halamannya. Dalam nas yang sama, seorang Muslim hendaklah mampu membezakan antara kepercayaan dengan pergaulan sehari-hari.

 

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka, dan dapat diterima oleh semua bansa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk menganut agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain berkembang di negaranya, dengan prinsip dan etika tertentu, kerana prinsip ini telah dianut oleh Nabi Muhammad s.a.w.

 

Sebagai agama terakhir, Islam adalah agama yang menghormati prinsip orang lain dan kemajmukan yang wujud di dalam sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa. Kerana tiada suatu bangsa pun di dunia ini yang benar-benar tunggal tanpa wujudnya suatu perbezaan di dalamnya, baik perbezaan itu dari sudut budaya mahupun dari sudut kepercayaan.

 

Al-Quran sebagai kitab suci terakhir yang diturunkan oleh Allah untuk umat manusia mengandungi beberapa petunjuk yang tegas mengenai kemajmukan dan menyatakan bahawa kemajmukan itu ialah suatu ketentuan Ilahi (takdir). Oleh yang demikian, umat Islam wajib menerima kemajmukan itu dan kemudian berusaha untuk mewujudkan sikap kebersamaan bagi memperkukuhnya. Secara amnya, dapat dikatakan bahawa kemajmukan itu adalah Sunnatullah yang tiada seorang manusia pun sanggup mengubahnya, kecuali Allah Taala, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

 

“Sekiranya Tuhanmu menghendaki,sudah tentu Dia akan menjadikan manusia ini umat yang satu,tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.” (Surah Hud: 118)

 

Dalam nada yang lebih tegas lagi, Allah berfirman yang bermaksud:

 

“Dan jika Tuhanmu menghendaki, nescaya akan beriman seluruh penduduk bumi.” (Surah Yunus: 99)

 

Firman Ilahi ini menegaskan, bahawa sekiranya Dia menghendaki, nescaya tidak akan wujud lagi perbezaan kepercayaan di kalangan masyarakat sesuatu bangsa. Demikian juga dengan perbezaan suku, bangsa, bahasa, warna kulit, kebudayaan dan sebagainya. Tetapi Allah tidak melakukannya demikian, malahan Dia memberi kebebasan kepada manusia untuk memilih jalan akan mereka lalui, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

 

“Katakan bahawa kebenaran itu datang dari Tuhanmu,maka barangsiapa yang ingin beriman,hendaklah dia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah dia kafir. Sesungguhnya telah kami sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang mengepung mereka dengan gejolaknya.” ( Surah Al-Kahfi: 29)

 

Petikan firman Allah di atas menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri tidak berupaya untuk menyuruh semua penduduk Madinah beriman kepada Allah, bahkan Allah menegur baginda dengan pertanyaan: “Apakah engkau hendak memaksa supaya mereka menjadiorang yang beriman… Hal ini demikian kerana tugas baginda hanyalah menyampaikan (rasul), sedangkan yang memberi hidayah kepada manusia adalah Allah Taala. Ini menunjukkan bahawa Islam menerima wujudnya kemajmukan ini, baik dalam bentuk sikap, budaya, warna kulit, bangsa, mahupun agama. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa kemajmukan dan keanekaragaman manusia itu adalah sebagai suatu sunnah-Nya terhadap makhluk-Nya, yang kesemuanya itu mengandungi hikmah tertentu.

 

Kemajmukan ini bukan hanya berada pada peringkat global, tetapi juga wujud dalam kelompok masyarakat yang lebih kecil daripada itu, seperti peringkat nasional, wilayah, daerah, bahkan sampai ke peringkat mukim dan kampung. Bagaimanpun, kemajmukan yang dimaksudkan di sini tidak boleh diertikan sebagai suatu pengakuan dan kebenaran semua agama dalam bentuknya yang nyata sehari-hari. Ajaran kemajmukan keagamaan dalam Islam membawa pengertian, bahawa semua agama diberi kebebasan untuk hidup, sementara aqkibat perbuatan mereka itu akan ditanggung oleh mereka sendiri.

 

(Bersambung…)

commentscomments

  1. Nor Hayati Napiah says:

    Assalamualaikum, maaf mengganggu tuan, jika tidak keberatan saya mohon untuk mendapatkan sambungan artikel ini untuk menyiapkan tugasan master, terima kasih atas perhatian tuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × two =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib