Bila Undang-Undang Keluarga Islam (WP) akan dikuatkuasakan?

July 24, 2008 10:47 AM 0 comments

 

Oleh JUHAIDI YEAN ABDULLAH

SETELAH tiga tahun tertangguh, kaum wanita negara ini menaruh harapan agar Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) - (Pindaan 2005), akhirnya dapat dilaksanakan. Harapan yang tinggi ini bersandar kepada penubuhan Sekretariat Advokasi dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada)  pada 20 Jun 2008 lalu. Sekretariat yang diletakkan di bawah pejabat Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, Jabatan Perdana Menteri diharap akan menjadi wadah kepada perjuangan memajukan wanita Islam di dalam konteks masyarakat majmuk negara ini.

Amat penting sekali, khususnya terhadap keyakinan kaum wanita terhadap institusi kerajaan atau Senada, agar undang-undang keluarga Islam yang tertangguh ini dapat dibawa ke Kabinet sekali lagi dan Parlimen. Diberitakan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (foto) dan Peguam Negara berhubung pindaan yang dibuat ke atas Rang Undang-Undang tersebut. Namun, rakyat umum masih menunggu suatu keputusan mutlak. Hal ini cukup sensitif kerana pindaan ini mempunyai implikasi besar terhadap usaha untuk membela nasib kaum wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam. Rang undang-undang ini juga bakal menjadi rujukan berhubung pertikaian dalam institusi kekeluargaan.

Rang undang-undang ini diwartakan menjadi undang-undang pada 22 Disember 2005. Bagaimanapun, ekoran protes beberapa pihak termasuk Ahli Senat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dan beberapa cendekiawan, ia terpaksa ditangguh. Perbincangan lanjut diadakan diantara beberapa NGO dengan Peguam Negara. Ramai melihat keputusan yang dibuat pada 2005 untuk menangguhkan penguatkuasaan undang-undang ini sebagai munasabah bagi membolehkan semua pihak berkaitan menilai semula kedudukan dan memperincikan perbincangan agar percanggahan pendapat dapat diselesaikan. Tetapi tiga tahun sudah berlalu. Belum selesaikah perbincangan?

“Kita akan semak kembali dan memberi maklum balas tentang undang-undang keluarga Islam di seluruh negara. Ini kerana kita menganggap isu memperkasakan wanita merupakan isu yang amat penting bagi pembangunan masyarakat Islam di negara ini pada masa akan datang,” kata Shahrizat. Beliau memberi jaminan pandangan pelbagai pihak telah diberi pertimbangan wajar. Katanya, Senada juga akan mewujudkan satu kumpulan sukarela yang komited bagi menyelaras dan menggerakkan aktiviti sekretariat dan NGO Islam di peringkat akar umbi.

Aspek pindaan yang dikatakan mendiskriminasi wanita berhubung Seksyen 23 berkaitan poligami dan harta sepencarian. Ada pihak mencadangkan Kerajaan mendapat maklum balas orang awam, khususnya wanita yang pernah berurusan dengan Mahkamah Syariah dan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji semula undang-undang ini secara menyeluruh. Mereka berpendapat di bawah pindaan ini, suami lebih mudah berpoligami dan menceraikan isteri, dan hak serta nafkah isteri terhakis. Pihak yang menuntut berharap hal-hal ini diambil kira oleh pihak Kerajaan.

Berhubung poligami, pindaan yang dimaksudkan ialah agar permohonan berpoligami dikemukakan kepada mahkamah mengikut cara ditetapkan dan disertakan afidavit atau bersumpah dengan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu. Ini berkaitan tafsiran undang-undang. Dahulu, suami berpoligami atas dasar “perlu dan patut” tetapi di bawah pindaan hanya apabila “patut atau perlu”. Nampaknya lebih mudah untuk suami berpoligami tetapi sebenarnya pembuktian “patut” atau “perlu” ini berat. Begitu juga izin isteri sedia ada, mesti dikemukakan kepada mahkamah untuk dipertimbangkan. Kelulusannya ialah mahkamah. Kalau isteri membantah atau tidak memberi kebenaran, bukan mudah untuk mahkamah memberi kelulusan.

Pindaan Seksyen 52 memberikan hak fasakh kepada suami dan isteri selaras dengan hukum syarak. Ini tidak bermakna suami lebih mudah menceraikan isteri. Cara bercerai yang ada ialah taklik, khulu (tebus talak) dan fasakh. Cerai taklik adalah hak isteri, khulu juga hak isteri, manakala talak adalah hak suami. Fasakh adalah hak bagi kedua-dua pihak , dan ini ada peruntukannya dalam agama. Kalau talak, suami masih bertanggungjawab soal nafkah, kalau fasakh tidak kena. Sebab fasakh itu membatalkan terus perkahwinan.

Selepas bercerai pun, hak isteri tidak hilang. Dalam soal nafkah, hanya isteri boleh memohon. Isteri tetap dapat nafkah dan harta sepencarian melelaui seksyen lain, walaupun dia tiodak memohon. Harta suami dan isteri tetap hak masing-masing. Perbicaraan tuntutan nafkah biasanya tidak ambil masa lama. Tetapi pembahagian harta sepencarian mungkin mengambil masa setahun atau lebih sebab membabitkan pengemukaan keterangan, bukti dokumentasi dan sebagainya.

Di bawah pindaan ini, apabila suami hendak berpoligami, dikhuatiri hask isteri akan hilang kerana suami lebih menumpukan isteri baru. Nafkah dipastikan betul-betul manakala harta dibahagikan kepada isteri pertama dahulu kerana dibimbangi diberikan kepada isteri baru.

Dalam al-Quran ayat 20-21 Surah An-Nisa menyebut, yang bermaksud: “Kalau kamu hendak ganti isteri kamu dengan isteri yang lain sedangkan kamu telah memberikan kepada mereka harta yang banyak, jangan kamu ambil barang sedikitpun. Bagaimana kamu hendak membahagikan harta di antara kamu sedangkan kamu telah bercampur dengan suami dan isteri dan isteri kamu telah mengambil satu perjanjian yang kuat.”

Leave a Reply