Home » Fikrah » Pemantapan hubungan etnik berteraskan prinsip Islam Hadhari

Pemantapan hubungan etnik berteraskan prinsip Islam Hadhari

masyarakat2.jpg

Oleh EDITOR HADHARI
KEPELBAGAIAN kelompok etnik di negara ini diterima oleh semua dan ia merupakan sumber kekuatan. Dari segi sejarah, kerjasama dan ikatan perpaduan pelbagai bangsa dan kaum di negara kita bermula dengan apa yang dinamakan sebagai kontrak sosial antara etnik terbesar di negara ini. Kontrak sosial adalah satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum melalui proses muafakat dan musyawarah ke arah peralihan kuasa pemerintahan sendiri daripada pihak Inggeris dan dimanifestasikan melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Semangat kontrak sosial ini berasaskan semangat kerjasama dan setiakawan serta perkongsian kuasa yang kemudiannya terjelma dalam perjuangan menuntut kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Pemuafakatan formula perkongsian kuasa telah dipersetujui oleh semua pihak sejak daripada dulu lagi.Semangat dan falsafah Islam Hadhari telah terjelma ketika itu lagi dengan adanya sikap bermuafakat, bermusyuawarah dan keadilan dalam menjalani kehidupan secara bersama dengan aman, harmoni, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain walaupun berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Keimanan dan Ketakwaan

Hubungan etnik yang utuh lagi jitu akan dapat dibina sekiranya ia dijalin berteraskan ajaran agama bersekali dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Islam sebagai Ad-Din telah secara holistik mengintegrasikan hubungan kemanusiaan dan kemasyarakatan (termasuk komuniti dan hubungan etnik) dengan hubungan manusia-Allah, manusia-makhluk dan hubungan manusia-alam. Justeru, hubungan kemanusiaan dan sosial sudah terkandung dalam ajaran Islam yang mementingkan perpaduan, perdamaian, keharmonian dan keamanan tanpa mengira bangsa, ras, kaum dan etnik. Kesejahteraan hidup hanya akan dapat direalisasikan sekiranya manusia dan masyarakat berpandukan ajaran Allah s.w.t.

Integrasi iman dan takwa serta amal bukan hanya dijuruskan dalam aspek hubungan etnik tetapi dilihat secara menyeluruh dalam komponen pembangunan insan, komuniti dan negara yang akhirnya menganjak paradigma dalam aspek peningkatan kualiti hidup dan taraf hidup, kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kemajuan dan pembangunan negara (emosi, mental, fizikal dan spiritual masyarakat).

Orang yang kuat iman dan takwanya adalah mereka yang menjalin dan memelihara hubungan baik dan beradab sesama manusia walaupun dengan bukan Islam kerana ia adalah ajaran Islam dan suruhan Allah serta Junjungan Besar Rasulullah s.a.w.Islam mewajibkan penganutnya menjalin hubungan yang baik sama ada sesama Muslim ataupun dengan bukan Muslim. Islam juga mengajarkan penganutnya agar menghindarkan diri daripada mewujudkan permusuhuan, perseteruan, perselisihan faham yang negatif dan fitnah.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kaum secara khusus, (tetapi akan menimpa kaum secara umum).”

Dengan kekuatan imanlah, orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang lain, bukannya dengan dasar keturunan atau pertalian darah atau kewarganegaraan semata-mata.

Allah s.w.t telah menjelaskan dalam Surah Ali Imran ayat 102–103, bahawa takwa adalah asas perpaduan sesama Muslim dan dalam konteks bernegara. Orang Muslim menjadikan takwa sebagai tonggak untuk menjamin hubungan etnik yang baik dengan kaum agama lain. Orang-orang Islam juga tidak dapat bertolak ansur untuk menjalin hubungan dan memperkukuhkannya sesama Muslim. Ia adalah satu kemestian dan kewajipan sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Kasih sayang Mukmin itu dengan Mukmin yang lain bagaikan struktur binaan yang saling mengeratkan.” Dalam sebuah hadis yang lain, baginda menjelaskan, yang bermaksud:”Orang Mukmin, dalam soal kasih sayang, cinta dan belas ihsan sesama mereka, bagaikan badan, jika ada anggota yang sakit, maka seluruh badan itu juga turut berasa sakit, lalu demam dan tidak dapat tidur.”

Kerajaan Adil dan Beramanah

Dasar keadilan dan amanah kerajaan juga telah lama dilaksanakan dalam konteks memantap dan memperkukuhkan hubungan etnik. Kerajaan Malaysia dalam ruang yang ada sejak daripada selepas Peristiwa 13 Mei 1969 berusaha membentuk perpaduan dan keutuhan masyarakat berbilang kaum yang mempunyai identiti nasional dan tidak menghalang hak-hak bukan Islam dalam menjalani semua aktiviti kehidupan. Kepelbagaian budaya dan agama diterima sebagai satu entiti kekuatan, bukannya melemahkan. Kerajaan juga sentiasa berwaspada dan berusaha mengelakkan ketegangan dan pergaduhan etnik walau apapun puncanya.

Respons kerajaan kepada tuntutan etnik minoriti sentiasa adil dan saksama, maka kerana itulah ketegangan dan perbalahan antara etnik dapat diatasi dengan bijak dan saksama. Etnik majoriti merasa selamat dan etnik minoriti pula turut menikmati keamanan, pembangunan dan kemajuan negara secara bersama. Ini mengurangkan rasa tersisih dan kurang selamat di kalangan etnik minoriti. Kita percaya, tidak ada sebuah negarapun yang mampu melahirkan rasa selamat golongan minoriti kecuali dalam kes Malaysia.

Golongan minoriti kadangkala menikmati lebih kelebihan (walaupun kebiasaannya sedikit berkurang) dalam sektor pekerjaan, kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal kerana peluang, dasar dan ruang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan. Kerajaan juga telah secara perlahan-lahan menghapuskan pengkelasan dan identifikasi kelompok etnik mengikut jenis pekerjaan ataupun aktiviti ekonomi kesan daripada strategi penjajahan British ke atas negara kita dahulu.

Kerajaan telah mengatur pelan dan strategi perpaduan melalui beberapa dasar sedia ada untuk membentuk masyarakat berbilang kaum yang utuh lagi padu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal sebagai garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti nasional negara dan masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu. Mengakui kerumitan pelaksanaannya, kerajaan meminta rakyat agar insaf serta faham tentang kepentingan perpaduan antara kaum dan perlunya dihakis kebudayaan kesukuan yang menidakkan kebudayaan nasional. Apa yang lebih penting ialah kerajaan ingin melihat masyarakat berbilang kaum berbudaya keperibadian kebangsaan Malaysia yang lebih ekstensif menjangkau batasan suku kaum sempit dengan Islam dijadikan sebagai komponen utama kebudayaan nasional. Betapa pentingnya perpaduan kaum dan semangat muhibah dipupuk di peringkat awal lagi, kerajaan telah memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) hasil daripada ilham YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Polisi ”Bersih, Cekap dan Amanah” pula menampilkan integriti tinggi yang dikehendaki kerajaan di kalangan kakitangan awam khususnya.

Rakyat Berjiwa Merdeka

Setiap kelompok etnik menyumbang kepada perjuangan menuntut kemerdekaan. Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah menghayati hakikat perjuangan tersebut dan sama-sama memastikan kesinambungan kemerdekaan negara dikecapi oleh generasi masa hadapan.Hubungan etnik di Malaysia tidak lagi berkisar dalam soal-soal keagamaan (walaupun agama adalah sandaran) tetapi yang lebih penting ialah keadilan kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan rakyat yang berbilang agama dan kaum, program-program sosioekonomi untuk meningkatkan status ekonomi mereka yang memerlukan, pembangunan yang lebih ditumpukan di kawasan luar bandar dan desa, pembangunan sektor pertanian dan industri asas tani dan seumpamanya. Kerajaan terus berusaha membentuk bangsa Malaysia menerusi berbagai-bagai usaha termasuklah pengukuhan konsep perpaduan nasional agar terhasil rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka, iaitu yang menyumbang dan berbakti kepada negara serta menumpahkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara di samping bersatu padu, saling menghormati, tolong menolong dan berkongsi masa depan.

Kerajaan juga telah memperkenalkan pendekatan ’Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian’ dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang kuat. Islam mewajibkan manusia Muslim sentiasa tolong menolong atas dasar kebaikan dan ketaqwaaan dan bukannya atas dasar perlakuan dosa, pencerobohan atau perseteruan. Sebagai warga Malaysia yang berjiwa merdeka, Rukun Negara merupakan teras ke arah mengwujudkan bangsa yang berwibawa dan berprinsip. Rakyat mestilah mendukung kepercayaan kepada Tuhan dan menolak atheisme. Oleh sebab itu, bukanlah seseorang itu dianggap sebagai warganegara Malaysia sekiranya ia mengaku tidak beragama atau tidak mempercayai Tuhan.

Rakyat juga sama-sama tanpa mengira bangsa dan agama menumpahkan kesetiaan kepada Raja dan negara, pemimpin dan pemerintah, menjunjung kedaulatan undang-undang dan menghayati kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat berbilang kaum.Ancaman penjajahan pemikiran, ekonomi, politik dan budaya serta globalisasi negatif adalah dua musuh yang dihadapi oleh semua kelompok etnik di Malaysia. Oleh kerana masalah yang ditimbulkan oleh kedua-duanya sama-sama memberikan kesan buruk kepada setiap kelompok etnik, maka kelompok etnik yang bersatupadu akan lebih kuat menghadapi musuh-musuh ini. Justeru, Islam sentiasa menyuruh umatnya untuk berpegang teguh dengan agama Allah dan jangan berpecah belah. Sepanjang sejarah Islam juga kita akan dapati rekod pemerintahan Islam dan layanan yang baik untuk kelompok agama lain dan dari sudut hubungan diplomatik dan antarabangsa. Begitu juga rekod pemerintahan negara kita.

Penguasaan Ilmu Pengetahuan

Kerajaan sentiasa menganjurkan rakyatnya agar sentiasa menguasai ilmu pengetahuan. Islam mewajibkan umatnya untuk mencari dan menuntut ilmu pengetahuan. Dalam konteks Malaysia, jalinan hubungan etnik akan menjadi lebih padu sekiranya masing-masing melihat signifikan hubungan etnik dalam konteks ilmu dan realiti, bukannya emosi, perasaan, dan prasangka. Dialog tamadun atau dialog antara agama akan berlaku dengan wujudnya interaksi individu. Nabi Muhammad s.a.w banyak menggunakan dialog dan hikmah ketika berhujah dengan orang Musyrikin Mekah. Orang Melayu tidak mempunyai masalah dalam interaksi tamadun. Agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian dapat berkembang di Kepulauan Melayu kerana pemahaman orang Islam berasaskan ilmu al-Quran yang mementingkan toleransi dan menerima hakikat kepelbagaian agama dan keturunan dan hidup bersama dalam kerukunan, aman dan damai kecuali pada waktu darurat.

Orang Melayu juga menerima bahasa kelompok etnik lain walaupun bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Pakaian kebangsaan yang berasaskan kemelayuan diterima oleh semua kelompok etnik walaupun setiap kelompok etnik mempunyai pakaian etnik masing-masing. Kerana Islam mengharuskan mengambil makanan yang halallah, orang-orang Melayu boleh menerima makanan orang asing (yang halal) seperti makanan segera Barat (asal daripada Barat), Char Koay Teaw (asal daripada China) dan Tosai (asal daripada India). Semua ini diterima oleh orang Islam berasaskan pemahaman ilmu.Tamadun India yang masyhur dengan falsafah dan matematik, tamadun China dengan ilmu hisab, perpuluhan dan aritmatik dan tamadun Islam yang menampilkan konsep angka dan meletakkan asas dalam matematik moden dan bidang astronomi cerapan telah bersama-sama menjayakan interaksi tamadun hasil daripada penguasaan ilmu pengetahuan.

Maka, kelompok etnik Cina, India dan Melayu dan lain-lain sepatutnya tidak mempunyai masalah memperkukuh hubungan etnik di Malaysia hasil daripada interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya tamadun masing-masing terdahulu. Penguasaan ilmu pengetahuan adalah faktor pembentukan dan kesinambungan kejayaan ketiga-tiga tamadun di atas. Ungkapan Arab, ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China” membuktikan dua aspek; pertama interaksi dan dialog tamadun, kedua; transmisi ilmu dan pengejaran ilmu pengetahuan. YAB Perdana Menteri juga telah menawarkan Malaysia sebagai `focal point` untuk mengadakan usaha-usaha perbincangan terbuka berkaitan Islam. [Ucapan PM, Asia Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

Maksudnya ialah sebagai pusat dialog antara agama ataupun dialog peradaban. Usaha yang lebih perlu dilipatgandakan oleh berbagai-bagai pihak bermula daripada masyarakat awam, pemimpin masyarakat, pemimpin tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan untuk mengadakan dialog antara Muslim dan bukan Islam. Dialog, perbincangan dan interaksi sebenarnya menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat tentang hakikat kelompok etnik dan agama-agama lain. Ruang-ruang untuk perbincangan mestilah dibuka dan dikendalikan dengan keadaan yang baik dalam suasana dan semangat setiakawan.

YAB Perdana Menteri telah melahirkan keyakinannya, katanya:“ Islam sebenar yang toleran, berkebajikan dan yang utama mengajarkan keamanan antarabangsa, keselamatan dan kerjasama akan melonjak. Orang-orang Islam di mana-mana sahaja bukan sahaja mempunyai kewajipan untuk mengembalikan kegemilangan Islam, bahkan menganjurkan rasa saling bersama antara satu sama lain di kalangan agama-agama di dunia.” [Ucapan YAB Perdana Menteri, Asia Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

Apa yang disarankan oleh YAB Perdana Menteri adalah berlandaskan kepada ajaran Islam yang menganjurkan keamanan, kedamaian, dan kesejahteraan.

Pembangunan Ekonomi yang Komprehensif dan Seimbang

Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang kaum yang sentiasa hidup dalam aman dan harmoni, penuh dengan perasaan saling menghormati dan bertoleransi. YAB Perdana Menteri telah menekankan bahawa perkara ini tercapai bukanlah secara kebetulan tetapi menerusi pengurusan hubungan etnik berlandaskan perkongsian kuasa dalam pembentukan kerajaan dan penumpuan kepada pengurusan ekonomi yang mampan serta pembahagian ekonomi yang seimbang. [Ucapan PM, Asia Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mensasarkan pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat harus dilihat juga signifikannya dari sudut hubungan etnik. Pencapaian DEB yang diharapkan iaitu 30 peratus pemilikan Bumiputera dalam semua bidang dan peringkat ekonomi akan memobilasikan Bumiputera untuk bergerak maju dan berdaya saing seiring dengan bukan Bumiputera. Status sosial dan pendapatan Bumiputera diharapkan akan setara dengan bukan Bumiputera. Objektif penyusunan semula masyarakat yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik akan dapat direalisasikan. Sebab itu, DEB harus dilihat signifikannya daripada sudut hubungan etnik.

Pelan dan strategi pembangunan jangkamasa pendek dan panjang akan memberi impak yang positif kepada keutuhan perpaduan kaum. Antara dasar berkaitan ialah seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Kependudukan Malaysia Ke Arah 70 Juta Penduduk, Dasar Pertanian Nasional Ketiga (1998-2010), Halacara Baru Dalam Pembangunan Kampung dan Luar Bandar, Dasar Urbanisasi Negara (DUN), Dasar Sains dan Teknologi Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pembentukan dan kejayaan integrasi nasional sepatutnya juga dilihat kepada pelaksanaan dan kejayaan Dasar Sosial Negara, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan secara komprehensif di mana setiap komponen masyarakat majmuk dan kerajaan turut sama menyumbang dan berbakti. Semua dasar negara akan tercapai sekiranya orang Islam memahami bahawa asas keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi adalah pemangkin kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kehidupan Berkualiti

Hubungan etnik yang baik akan menyumbang kepada kehidupan yang berkualiti. Berdasarkan kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita dapati hubungan etnik boleh dikaitkan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita. Indeks Kualiti Hidup Malaysia merangkumi 11 aspek, iaitu:

(i) Dunia pekerjaan – Hubungan etnik boleh dimantapkan dengan menjalin hubungan yang baik di tempat kerja. Dalam aspek pekerjaan, semua kaum mendapat peluang yang sama rata untuk memberikan tenaga dan bakti dalam apa jua profesion.

(ii) Pengangkutan dan komunikasi – Kemalangan jalan raya kadangkala mengakibatkan perbalahan berasaskan sentimen etnik. Ini perlu dielakkan, biarlah mahkamah menentukan sesiapa yang bersalah ataupun tidak. Berbudi bahasa dan bersopan santun di jalan raya dan ketika menggunakan pengangkutan awam adalah amalan mulia dan amalan kesedaran sivik yang tinggi. Alat telekomunikasi seperti faksimili, telegraf, e-mel dan SMS boleh menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik.

(iii) Kehidupan berkeluarga – Individu yang baik dan beradab akan melahirkan keluarga yang baik. Keluarga yang baik akan melahirkan komuniti dan masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara. Di Malaysia, walaupun keakraban keluarga semakin baik, setiap ahli keluarga perlulah mempunyai hubungan yang baik dengan ahli keluarga kelompok etnik yang lain.

(iv) Keselamatan dan ketenteraman awam – Rakyat pelbagai kaum mestilah sama-sama memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan mengelakkan daripada menjadi pencetus kepada perselisihan faham ataupun konflik etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu sensitif.

(v) Pendapatan dan pengagihannya – Kita mendapat tempat untuk mencari rezeki hasil daripada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang diusahakan pemerintah dan rakyat dengan izin Allah s.w.t. Tidak lagi timbul rasa cemburu dan iri hati kerana kita sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Wang pembayar cukai digunakan untuk membangunkan keluarga, masyarakat dan juga negara.

(vi) Kesihatan – Isu-isu seperti HIV AIDS, dadah, sakit jantung dan kanser melibatkan semua kaum. Kita mesti bersatu untuk memerangi dan menanganinya.

(vii) Pendidikan – Bidang pendidikan sendiri sama ada di peringkat rendah, menengah dan tinggi adalah satu wadah yang boleh digunakan untuk menyatupadukan kaum. Secara teorinya, semakin tinggi pendidikan seseorang itu, semakin tinggilah juga kesedaran dan amalan dalam memperkasa hubungan etnik dan intra etnik. (viii) Perumahan – Terdapat kecenderungan pembeli rumah membeli rumah di kawasan kelompok etnik sendiri. Sikap ini perlu dibendung kerana ia boleh mengwujudkan polarisasi kaum. Banyak kawasan perumahan yang mempunyai pelbagai kelompok etnik. Maka usaha perlu dijalankan untuk memperkukuh hubungan etnik di kawasan kediaman terlebih dahulu.(ix) Alam sekitar – Isu alam sekitar sebaiknya ditangani secara bersama. Kempen gotong royong pembersihan taman perumahan yang melibatkan pelbagai kelompok etnik boleh mengwujudkan semangat dan sikap kerjasama berkumpulan dan tolong menolong.(x) Penglibatan sosial – Kerja-kerja sukarela sama ada di peringkat komuniti dan masyarakat boleh mewujudkan sikap sayang menyayang dalam konteks hubungan etnik. Begitu juga kerja sosial dan pembangunan komuniti dan masyarakat.(xi) Budaya dan hiburan – Program kebudayaan dan hiburan yang melibatkan penyertaan pelbagai kelompok etnik mestilah sentiasa digalakkan kerana ia boleh memperkukuhkan hubungan etnik.Sukan ternyata boleh mewujudkan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia sekali gus mempereratkan hubungan kaum dan integrasi nasional. Sudah ada langkah-langkah menggunakan sukan sebagai alat untuk memupuk hubungan kaum yang erat. Orang Cina sudah ada yang bermain sepak takraw yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu. Orang Melayu sudah bermain bola keranjang walaupun sebelum ini sukan ini didominasi oleh orang Cina. Kita perlu sukan yang boleh menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Badminton, hoki, bola sepak dan squasy adalah di antara sukan yang boleh membangkitkan perasaan patriotisme rakyat.Orang boleh menangis kesedihan kalau negara kalah dalam sesuatu jenis sukan, dan begitu juga orang boleh menangis kegembiraan kalau negara menang dalam sesuatu jenis sukan.

Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita

Islam telah lebih 1400 tahun yang lampau memperjuangkan konsep hubungan etnik dan hak-hak asasi manusia. Islam menjamin hak-hak bukan Islam dan warga dunia. Jaminan ini akan memperkukuhkan hubungan etnik di negara yang diperintah oleh orang Islam. Pengisytiharan Universal Islam Mengenai Hak-hak Asasi Manusia di Paris pada September 1981 antara lain mengiktiraf hak-hak manusia untuk hidup, hak kebebasan manusia, hak persamaan dan larangan diskriminasi terlarang, hak keadilan, hak perbicaraan yang saksama, hak mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa, hak perlindungan daripada penyeksaan, hak perlindungan maruah dan reputasi, hak pelarian, hak-hak minoriti, hak dan obligasi untuk menyertai pengurusan hal ehwal awam, hak untuk menganut mana-mana agama dan berucap, hak amalan keagamaan, hak untuk berkumpul dan menubuhkan persatuan, hak melakukan aktiviti ekonomi, hak perlindungan harta benda, status dan maruah pekerja, hak keselamatan sosial, hak berkeluarga dan yang berkaitan dengannya, hak wanita yang telah berkahwin, hak pendidikan, hak ‘privacy ‘ dan hak bergerak dan menginap.Kumpulan minoriti terdiri daripada golongan bukan Islam, anak yatim, warga emas, kanak-kanak istimewa, orang kurang upaya, fakir miskin dan ibu tunggal. Prinsip ini menampilkan hak-hak kumpulan minoriti dan wanita akan dijaga dan dibela serta memastikan mereka berada dalam arus perdana kemajuan dan pembangunan negara.

Keutuhan Budaya dan Moral

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi elemen negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai agama dan ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah dipertahankan demi keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ia daripada dicemari oleh budaya yang merosakkan akhlak dan moral serta budi bahasa rakyat Malaysia.Budaya dan moral yang kuat lagi jitu adalah pemangkin dalam usaha kita menjadi negara maju dan ke arah pencapaian Wawasan 2020. Nilai-nilai murni dan budi bahasa rakyat Malaysia adalah di antara identiti rakyat Malaysia yang mesti dipertahankan walaupun kita sudah moden dan membangun. Ketua keluarga mestilah memastikan keutuhan budaya dan moral ahli keluarga masing-masing. Pemimpin masyarakat pula bertanggungjawab terhadap masyarakat masing-masing. Kerajaan ingin wujudkan masyarakat yang mempunyai personaliti unggul (towering personality) agar bangsa Malaysia dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Personaliti unggul terletak pada diri dengan kekuatan hemah yang tinggi, berilmu pengetahuan tinggi, tinggi pencapaian, ketokohan dan keintelektualan.

Perayaan-perayaan kaum di Malaysia boleh menjadi satu mekanisme memupuk semangat muhibah di kalangan masyarakat berbilang kaum. Bagi orang Islam, amalan kunjung mengunjung ke rumah kaum lain ketika perayaan tertentu bukanlah bermakna merestui sistem kepercayaan agama lain, tetapi lebih sebagai satu amalan mengeratkan perasaan saling menghormati, persefahaman dan persahabatan dengan kawan-kawan lain walaupun yang bukan seagama dengan mereka. Ini patut dijadikan budaya hidup kita.

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar

Rakyat Malaysia pelbagai kaum mestilah sama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar demi kepentingan bersama dan untuk generasi akan datang. Alam sekitar dan persekitaran yang kondusif bersekali denan penjagaan kesihatan yang sempurna akan memastikan masyarakat yang sihat, kuat dan sejahtera.

Rakyat Malaysia mestilah memperjuangkan isu-isu alam sekitar mengikut saluran yang betul dan peraturan dan benar-benar ikhlas demi kepentingan negara, bukannya kepentingan peribadi atau kelompok berkepentingan tersendiri.

Kempen gotong royong kebersihan dan seumpamanya di kawasan penempatan masyarakat berbilang kaum boleh mempupuk perasaan muhibah, kasih sayang dan tolong menolong.

Kekuatan Pertahanan

Program Latihan Khidmat Masyarakat (PLKN) sudah menunjukkan tanda-tanda penumpuan dan perkembangan integrasi nasional, perpaduan kaum dan semangat patriotisme. Generasi muda perlu disedarkan tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman musuh. Mungkin sudah ada usaha sedemikian di peringkat pendidikan rendah yang lebih bersifat kekuatan jatidiri.Penyertaan kelompok etnik bukan Melayu dalam pasukan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia masih di tahap yang rendah dan perlu dipertingkatkan.Penyertaan berbagai-bagai kelompok etnik dalam Ikatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan pasukan Pertahanan Awam boleh dibanggakan. Ini juga boleh memantapkan perpaduan kaum. ”Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” adalah pepatah yang melambangkan perpaduan dan kerjasama. Jika dikaitkan dengan kekuatan pertahanan, maka asas kepada persefahaman yang utuh ialah perpaduan yang jitu.Perumpamaan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” menggambarkan signifikan kerjasama berkumpulan, bermesyuwarah dan saling memahami serta tolong menolong. Tanpa muafakat dan terlalu banyak persengketaan akan menyebabkan negara kita mudah untuk ditewaskan oleh musuh.”Menang sorak, kampung tergadai” menggambarkan bahawa yang penting ialah “substance” (isi) bukannya slogan atau cakap-cakap kosong. Kita perlu mengotakan apa yang telah dijanjikan dan konteks sayangnya kita kepada negara dan para pemimpin. Rakyat Malaysia berbilang kaum mestilah menanam dalam diri mereka prinsip ”biar putih mata, jangan putih tulang” dalam konteks pertahanan negara.

Semua bangsa mestilah menanam dalam diri mereka semangat dan sikap sayangkan negara dan sanggup mempertahankannya ke titisan darah terakhir dan sentiasa komited sebagai warganegara yang baik dan berguna. Dalam Islam, orang yang mempertahankan negara dan mati kerana mempertahankan agama dan negara diberi penghormatan tinggi oleh Allah. Iklan TV3 ”Ikan di laut, asam di darat” membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh menjalin hubungan baik dan bersatu padu. Media massa adalah mekanisme paling berkesan untuk memupuk perasaan muhibah dan hubungan etnik yang positif. Sebab itu media massa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk memupuk integrasi nasional dan perpaduan kaum bukannya perpecahan dan polarisasi.

Bantuan-bantuan kemanusian (humanitarian) terhadap mangsa peperangan atau malapetaka alam menonjolkan ciri terbaru hubungan etnik yang menjangkau batas geografi dan sempadan antarabangsa. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum telah sama-sama menyumbang bagi membantu mangsa gempa bumi di China, taufan di Myanmar, mangsa perang Amerika-Iraq, mangsa gempa bumi di Kashmir dan malapetaka Tsunami, dan lain-lain lagi. Kesimpulannya, pendekatan Islam Hadhari diperkenalkan bertujuan untuk membawa perubahan kepada mentaliti dan sikap masyarakat serta peralihan kepada yang lebih baik dalam konteks kemajuan dan pembangunan negara. Pendekatan ini akan membawa pembaikan dalam semua aspek kehidupan untuk menuju ke arah sebuah masyarakat dan negara maju dan mencapai objektif Wawasan 2020.

Orang bukan Islam tidak perlu bimbang terhadap pendekatan ini kerana ia akan membawa kebaikan kepada semua golongan tanpa mengira perbezaan agama dan etnik.

commentscomments

  1. Muhd Arif says:

    izin share ye…

  2. hawa says:

    topic nih menarik..nagara sangat perlukannya

  3. juliana says:

    Salam saya pun nak minta izin share nie…syukran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 3 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib