Home » Fikrah » Gagasan Islam Hadhari di Malaysia

Gagasan Islam Hadhari di Malaysia

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID

ISTILAH “hadhari” mula digunakan secara agak meluas di Malaysia setelah pemimpin-pemimpin utama negara menggunakannya untuk menampilkan gagasan Islam progresif sebagai pendekatan yang diperlukan oleh umat mengikut perubahan zaman. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan negara untuk mempraktikkan konsep hadhari, memerlukan kefahaman tentang istilah hadhari diperjelaskan kepada semua pihak.

Agenda tentang pembangunan insan, pengurusan hidup duniawi yang seimbang antara tujuan fardhu ain dan fardhu kifayah perlu diletakkan di hadapan kerana kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang akan mencerminkan kemakmuran dan kualiti hidup umat Islam itu sendiri.

Pembangunan yang dimaksudkan bukan hanya menyentuh soal-soal akhirat semata-mata, malahan mencakupi pelbagai bidang seperti bio-teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), angkasa lepas, perubatan dan sebagainya. Dalam Islam, bidang-bidang ini dinamakan fardhu kifayah yang menjadi kewajipan bersama untuk diterokai dan dimanfaatkan. Kemajuan yang dicapai dalam bidang-bidang tersebut sudah tentu dapat mengangkat martabat bangsa dan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Tidak dinafikan bahawa dunia Barat telah mendominasikan peradaban dunia hari ini sejak zaman Renaissance, lebih kurang enam abad yang lalu. Walaupun mereka sebenarnya banyak menimba ilmu dan pengalaman dan kejayaan tamadun Islam. Bertitik tolak dari sinilah, tibalah masanya untuk umat Islam ‘bangun dari tidur’ dan mengembalikan kegemilangan masa silam. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Hikmah dan kebijaksanaan itu adalah barang hilang umat mukmin yang mesti mereka perolehi kembali.”

Gagasan hadhari boleh menjadi pemangkin ke arah ini. Sesungguhnya konsep hadhari ini merupakan gagasan pemikiran dan gerak kerja yang amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha membangun sebuah negara maju serta bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi negara. Pada asasnya, konsep hadhari merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan, yang bersifat komprehensif dan seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi dan kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, disebabkan ada umat Islam yang terkeliru dan mengabaikan salah satu dan kedua-dua aspek, maka nilai Hadhari ini perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan sebenar mengikut syariatnya. Dalam sejarah pentadbiran negara, nilai-nilai hadhari sememangnya dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Usaha pembangunan membasmi buta huruf dan program membasmi kemiskinan merupakan sebahagian daripada hadhari walaupun ia tidak disebut dengan istilah sedemikian. Begitu juga dengan dasar-dasar yang bertujuan memperbaiki kedudukan ekonomi Malaysia dan umat Islam semuanya merupakan sebahagian daripada ciri Hadhari. Dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Wawasan 2020 juga selaras dengan hadhari.

Konsep hadhari juga ialah Islam yang dinamik, yang sedar akan perubahan-perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Jika tidak, umat Islam akan terus ketinggalan ditelan arus zaman. Cabaran-cabaran dalam bidang ekonomi, kewangan, teknologi dan perdagangan antarabangsa yang bersifat global perlu disahut supaya kita memperkasakan keupayaan dan potensi bagi menangkis segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh negara-negara maju.

Kemelut yang melanda ekonomi dunia 1997 menjadi iktibar bahawa kita perlu bersedia pada bila-bila masa dan bertindak dengan penuh teliti dan tepat agar negara tidak menerima kesan ketara daripada sesuatu kegawatan ekonomi. Dalam bidang teknologi dan perdagangan, usaha-usaha perlu dilakukan supaya negara Malaysia yang mempraktikkan budaya hadhari yang mampu berdaya saing dan memiliki semangat kental bagi memajukan bidang-bidang tersebut setaraf dengan pencapaian peringkat antarabangsa. Namun demikian, dalam mengejar kemajuan dan melaksanakan pembangunan, Malaysia tidak mahu budaya Islam terkorban atau terpinggir. Oleh sebab itulah, sejak dahulu lagi kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan program-program Islam.

Demikian juga melalui peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri banyak program telah dilaksanakan seperti Bulan Dakwah yang pernah dilancarkan pada tahun 1970-an oleh Yayasan Dakwah lslamiah Malaysia (YADIM), mahupun Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam dekad 80-an dahulu. Kesimpulannya, konsep hadhari ini merupakan lanjutan kepada komitmen berterusan mengisi erti sebagai agama rasmi negara yang ingin melihat kepentingan pembangunan spiritual yang setara sebagai komponen penting dalam kehidupan ummah. Namun begitu, kita melihat konsep hadhari mempunyai keistimewaan tersendiri, lebih-lebih lagi Islam sering dikaitkan dengan gejala-gejala negatif seperti kejahilan, kekolotan, kemunduran, penindasan dan keganasan.
Segalanya bermula dengan keperluan memahami ‘tasawwur’ Islam yang sebenarnya. Seluruh ajaran Islam mesti difahami, ciri-ciri khusus, sistem nilai dan petunjuk. Sehingga dapat difahami matlamat dan tujuan manusia hidup di dunia. Tugas mereka sebagai hamba dan khalifah. Hidup di dunia ada pula kaitannya dengan kejayaan hidup di akhirat.

Kemajuan dalam ilmu pengetahuan dan mewujudkan budaya menyelidik merupakan asas kepada kejayaan hadhari. Fokus kepada kedua-dua bidang ini menjadi aset penting dalam mencorakkan masa depan bangsa, negara dan ummah yang cerah, cemerlang gemilang dan terbilang. Kita perlu menyediakan asas yang tegap bagi memastikan bahawa peradaban yang kita bina ini akan terus kukuh.

Sejarah telah membuktikan bahawa cendekiawan Islam seperti lbn Sina, lbn Rusyd, Ibn Khaldun dan ramai lagi bukan sekadar memberikan sumbangan kepada masyarakat kontemporari mereka sahaja, malahan mereka telah mewariskan khazanah serta gedung ilmu yang masih digunakan hari ini. Sayugia disebutkan bahawa mereka bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam satu bidang tetapi memenuhi keperluan pelbagai dimensi. Budaya mencari ilmu menerusi pendidikan berterusan perlu disebar luas dan dipraktikkan kepada masyarakat tidak kira tahap umur agar konsep hadhari yang dirangka akan terlaksana. Islam hadhari tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan ciri-ciri keperibadian dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri ini perlu ada pada segenap lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi negara, para pegawai kerajaan, kakitangan awam dan swasta, golongan belia sehinggalah kepada rakyat jelata. Usaha kerajaan membasmi pelbagai kepincangan sosial seumpama rasuah dilihat sebagai usaha mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan kerajaan bagi mempraktikkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai mulia.

Keperibadian yang dicerminkan oleh budi pekerti yang mulia mampu mengimbangkan dan pembangunan material yang telah dan sedang kita usahakan dengan pembangunan kerohanian yang kita impikan. Budi pekerti yang mulia juga dapat membezakan kemajuan yang dicapai oleh peradaban Barat yang kelihatan berlaku kepincangan kerana pembangunan material yang pesat tidak disertai pembangunan kerohanian atau spiritual.

Apa gunanya kalau bunga yang kembang indah mekar di taman tetapi hilang wangi harumannya? Biarlah bunga yang kembang mekar itu disertai dengan wangiannya.
Begitulah perbandingan pembangunan material dan pembangunan kerohanian. Daripada perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa hadhari memiliki ciri-ciri yang berfokuskan kepada pembangunan, bersifat dinamik, mementingkan ilmu pengetahuan dan budaya menyelidik serta keperibadian yang mulia. Aspek-aspek yang disenaraikan itu jika diamalkan mampu mewujudkan masyarakat yang lebih terbuka, moderate, berwawasan
yang dan menitikberatkan pembangunan yang menyeluruh atau holistic. Kesemuanya ini akan melahirkan peradaban bangsa yang tinggi, yang mampu bukan sahaja meletakkan imej masyarakat dan negara di tempat yang terhormat tetapi juga memartabatkan bangsa dan agama Islam secara keseluruhannya.

Kita berharap konsep hadhari ini diambil serius oleh semua pihak sebagai slogan dan amalan, bukan sahaja kerajaan tetapi juga rakyat keseluruhannya, termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO). Malahan Islam Hadhari sememangnya wajar dijadikan sebahagian daripada ramuan indentiti khusus umat Islam di Malaysia.

commentscomments

  1. NUR says:

    adakah pendekatan islam hadhari berjaya dilaksanakan? jika ya nyatakan conthnya.

  2. hazim says:

    saya ingin mengetahui tentang konsep tamadun islam di malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − 5 =

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Lajukan Akses Internet!

Gunakan Google DNS

  • 8.8.8.8
  • 8.8.4.4
*Baca lanjut di sini. Cara setup di sini.

Arkib